Kepentingan Merancang Pengajaran Sebagai Penentu Keberhasilan Guru dan Kemenjadian Murid

       

Pengenalan Rancangan Pengajaran

Apa itu rancangan pengajaran? rancangan pengajaran merupakan rangka kerja yang disediakan oleh guru sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berdasarkan jangka masa yang ditetapkan di dalam sesebuah perancangan. Selain itu, rancangan pengajaran juga merujuk kepada pelan tindakan untuk suatu program pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh guru berpandukan sukatan mata pelajaran yang akan diajar oleh guru untuk tahun dan penggal tertentu. Oleh itu, dokumen rasmi yang diwartakan yang dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) telah dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia yang menjadi rujukan dan garis panduan kepada guru dalam melaksanakan pengajaran. Merujuk Akta Pendidikan 1996, seseorang guru hendaklah mengajar mengikut Sukatan Pelajaran/Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang diluluskan oleh Menteri Pendidikan Malaysia. Guru yang mengajar tanpa merujuk dan mengikut dokumen tersebut adalah telah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali. 

Di samping itu, perancangan pengajaran biasanya meliputi Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) merupakan perancangan pengajaran yang dibina berdasarkan huraian sukatan pelajaran sepanjang tahun mengikut kesesuaian kelas dan tahap pencapaian murid. Oleh hal demikian kerana, KPM telah menetapkan bahawa tempoh persekolahan dalam setahun sesi akademik mestilah tidak kurang daripada 190 hari setahun. Seterusnya, jumlah 190 hari tersebut dibahagikan kepada 43 minggu untuk hari persekolahan. Lalu, guru-guru bersama rakan sepanitia dalam mata pelajaran opsyen wajib menyediakan RPT mengikut peruntukan waktu yang ditetapkan untuk menyusun agihan standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi sebagaimana yang terdapat dalam DSKP. Hal ini demikian dilakukan bertujuan untuk memastikan guru-guru dapat menentukan tahap dimana tajuk dan kandungan diajar, kaedah dan strategi serta sumber/bahan pengajaran ditetapkan. 

Manakala, Rancangan Pengajaran Harian (RPH) pula merupakan satu dokumen rasmi penting yang berupa rekod khas bertulis yang perlu disediakan oleh guru-guru sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, RPH juga merujuk kepada bukti yang perlu ditunjukkan kepada pihak atasan untuk membuktikan dan mengesahkan bahawa pengajaran sebenar telah dijalankan berdasarkan perancangan yang dibuat. RPH biasanya mengandungi tiga peringkat iaitu peringkat perancangan sebelum pengajaran, peringkat pelaksanaan pengajaran serta peringkat penilaian. Pada peringkat perancangan sebelum mengajar, dua perkara yang perlu dikenalpasti adalah isi kandungan yang bersesuaian dengan kebolehan murid serta penetapan objektif pembelajaran. Seterusnya, pada peringkat pelaksanaan pengajaran, guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bersama murid-murid dengan menggunakan dan berpandukan RPH yang telah disediakan. Akhir sekali, setelah sesi pengajaran selesai, maka guru melakukan peringkat ketiga iaitu peringkat penilaian. Guru akan mengingat kembali dan menilai sejauh mana keberkesanan pengajaran yang dilaksanakan dan mencari jalan untuk memperbaiki pengajarannya dengan melakukan penambahbaikan pada pengajarannya akan datang.





Kepentingan Merancang Pengajaran Sebagai Penentu Keberhasilan Guru Dan Kemenjadian Murid

Antara kepentingan melakukan perancangan pengajaran sebagai penentu keberhasilan dan kemenjadian murid ialah membolehkan guru lebih fokus objektif. Apa yang dimaksudkan dengan fokus objektif adalah guru dapat menumpukan kepada objektif pengajaran yang telah ditetapkan dalam sesebuah perancangan untuk memastikan para pelajar dapat mencapainya dalam jangka masa yang telah diaturkan. Bahkan ia juga mampu mengelakkan guru daripada mengajar luar dari objektif yang telah ditetapkan atau terkeluar daripada perkara yang hendak diajarkan kepada para pelajar. Seterusnya kepentingan merancang pengajaran adalah meningkatkan keyakinan seseorang guru atau pendidik. Hal ini dikatakan kerana, rancangan pengajaran membantu meningkatkan keyakinan diri pendidik untuk melaksanakan pengajaran lebih tersusun secara berkesan. Demikian dikatakan kerana, apabila seseorang pendidik telah menyediakan perancangan, pendidik tersebut akan kelihatan lebih bersedia dan mengetahui apa yang akan dilakukannya berdasarkan langkah-langkah yang di rancang keatas sesi pengajaran tertentu. Secara tidak langsung ia meningkatkan keyakinan dalam diri pendidik dan pendidik yang berkeyakinan mampu menyampaikan sesuatu pengajaran dengan lebih efektif serta penyampaian dapat diterima oleh para pelajar.

Selain itu, kepentingan merancang pengajaran ialah sebagai panduan guru ganti dimana ia bertindak sebagai panduan dan penerangan kepada guru ganti yang akan menggantikan kelas untuk meneruskan aktiviti pengajarannya semasa ketiadaan guru tetap. Di samping itu, melalui merancang pengajaran guru jugak dapat memantau penguasaan murid di dalam bilik darjah terhadap penguasaan mereka tentang perkara-perkara yang telah diajar. Hal Ini memudahkan lagi para guru untuk melakukan perancangan pengajaran yang akan datang mengikut penguasaan murid-murid ke atas topik tertentu. Tambahan pula, perancangan pengajaran membantu guru memilih, membina, dan menggunakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dan berkesan ke arah memandu pelajar memahami isi kandungan dan mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Bukan itu sahaja, dengan merancang pengajaran, guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara lebih sistematik dan efisien mengikut fasa permulaan, pengembangan dan penutup mengikut perancangan yang telah ditetapkan semasa membuat perancangan. Hal demikian dikatakan kerana di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH), guru perlu menyatakan susunan perjalanan pengajaran dengan menyusun mengikut langkah-langkah dan urutan yang sesuai. Dengan ini, guru dapat menjalankan pengajaran dengan lebih sistematik dan teratur serta mempunyai urutan yang berkesinambungan.

Bahkan kepentingan merancang pengajaran juga melibatkan kawalan masa dimana masa pengajaran dan pembelajaran dapat dimaksimumkan mengikut perancangan jadual waktu secara efektif. Untuk lebih jelas, di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru perlu menetapkan waktu dan masa yang diambil untuk setiap pengajaran yang dijalankan di dalam kelas bagi memastikan pengajaran yang dijalankan tersebut tidak melebihi atau tidak kurang dari jadual waktu yang ditetapkan. Setelah menyelesaikan pengajaran, guru dapat melakukan refleksi yang membolehkan guru mengesan kelemahan dan masalah yang berlaku ke atas pengajarannya dan segera melakukan pembetulan untuk menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran agar pengajaran akan datang dapat meningkatkan pembelajaran murid. Demikianlah dapat kita lihat bahawa melalui perancangan pengajaran guru dapat membuat penambahbaikan dengan melakukan perancangan yang lebih baik pada masa akan datang berdasarkan pengajaran-pengajaran lalu. Ia juga dapat membantu guru memastikan isi pelajaran dapat dikuasai oleh murid-murid mengikut pemeringkatan objektif dan tajuk yang diajar oleh guru di dalam kelas. Perancangan pengajaran yang terbaik membolehkan pembelajaran teratur dimana guru perlu merancang dengan teliti setiap komponen pengajaran dan kaedah pengajaran bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Akhir sekali, strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik dapat memupuk minat murid-murid untuk memahami dan belajar secara aktif.


Ciri-ciri perancangan pengajaran sebagai penentu keberhasilan guru dan kemenjadiaan murid.

Memahami ciri-ciri perancangan pengajaran membantu guru meningkatkan keberhasilan guru dan kemenjadian murid.




Kaedah-kaedah Membuat Perancangan Pengajaran Harian (RPH)

Dengan mengetahui kaedah yang betul dan tepat, guru dapat melaksakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk dijadikan panduan dalam setiap pengajaran. 

Sila tonton video di bawah👇berkaitan dengan kaedah-kaedah melakukan RPH atau klik pada link di bawah 👇 jika video tidak dapat dimainkan.



Contoh Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

Sila klik pada link yang disediakan dibawah 👇 untuk mengakses contoh-contoh Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang telah siap didokumenkan.

Sekian, itu sahaja perkongsian untuk entri ini. Terima kasih kerana sudi melawati blog dan entri ini dan mohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan atau kesalahan dari entri blog. Semoga hari-hari anda dipenuhi dengan keceriaan😀. Assalamualaikum dan salam sejahtera. 





Comments

Popular posts from this blog

Kepentingan dan Pelaksanaan Refleksi dalam Pengajaran dan Pembelajaran